Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu dan itulah yang
boleh digambarkan kepada pemain legenda Perancis, Zinedine Zidane
apabila menjadi jurulatih yang menerima tawaran paling lumayan di muka
bumi ini iaitu £120,000 (RM635,368) sehari untuk mengemudi skuad
kebangsaan Qatar pada saingan Piala Dunia 2022 nanti.
Zidane, 45, baru-baru ini mengejutkan ramai pihak apabila secara
tiba-tiba melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Real Madrid hanya
berselang lima hari menjulang Piala Liga Juara-Juara buat kali ketiga
berturut-turut bersama The Galacticos sekali gus membuka ruang kepada
Qatar membuat tawaran tersebut.
Sekiranya Zidane menerima tawaran itu, beliau dijangka memperoleh
pendapatan £44 juta (RM232 juta) setahun selain mengumpul kekayaan £176
juta (RM934.61 juta) bagi tempoh kontrak selama empat tahun bersama
skuad dikenali sebagai Al-Annabi (The Maroons) tersebut.
Mengesahkan jumlah tersebut sudah tersedia untuk ditandatangani ialah
bilionair berpengaruh di Mesir, Naguib Sawiris yang memuat naik status
mengenai hal itu pada akaun Twitter miliknya.
Selain tawaran lumayan daripada Qatar, Zidane turut mempunyai pilihan
lain terutamanya Chelsea yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya
memandangkan Antonio Conte dijangka meninggalkan Stamford Bridge hujung
musim ini.
Pada masa sama, Zidane mungkin merupakan pengurus pasukan Perancis
seterusnya jika skuad Les Bleus itu gagal pada saingan Piala Dunia 2018
di Rusia.
No comments:
Post a Comment