Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bulan Ramadan sedang kita
lalui berlalu hari demi hari. Setiap hari di bulan Ramadan Al Mubarak,
kita melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa. Dan di dalam bulan
Ramadan ini jugalah, seluruh umat Islam melaksanakan bayaran zakat
fitrah.
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas
setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan
syarat-syarat yang ditetapkan.
Zakat adalah Fardhu Ain ke atas
setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu,
seseorang muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya
adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk
menguruskan kutipan dan agihan zakat.
Kadar fitrah ialah satu
gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar
ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
Syarat Wajib Zakat Fitrah
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)
Dari
ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa
yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari
agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah
memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya
dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir
dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.
Berikut adalah Kadar Zakat Fitrah seluruh Malaysia 2018 Masihi / 1439 Hijrah.
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Kelantan : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Terengganu : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Johor : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Melaka : RM6.70
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Negeri Sembilan : RM6.50
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Selangor : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Perak : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Kedah : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Pulau Pinang : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Perlis : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Negeri Sarawak : RM7
- Kadar Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan : RM7
Zakat membawa berkat
Secara
majoritinya, kadar zakat fitrah di Malaysia pada tahun 2018 adalah
sebanyak RM7 seorang untuk semua negeri kecuali RM6.70 di Melaka dan
RM6.50 di Negeri Sembilan.
Kita digalakkan membayar zakat mengikut
harga beras yang dimakan kerana ianya merupakan kebajikan bagi golongan
yang berkemampuan dan akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf iaitu:
- Asnaf Fakir – Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.
- Asnaf Miskin – Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.
- Asnaf Amil – Orang yang dilantik atau ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.
- Asnaf Muallaf – Orang yang baru memeluk Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya” dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.
- Asnaf Riqab – Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.
- Asnaf Gharimin – Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat.
- Asnaf Fisabilillah – Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.
- Asnaf Ibnu Sabil – Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya dan pengembaraan diharuskan oleh syarak.
Waktu menunaikan zakat fitrah
Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada :
1. Waktu Wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
2. Waktu Afdal – Sebelum sembahyang Hari Raya
3. Waktu Sunat – Sepanjang bulan Ramadhan
4. Waktu Makruh – Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
5. Waktu Haram – Selepas terbenam matahari satu Syawal.
Umat
Islam dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat fitrah
kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan
oleh Majlis Agama Islam Negeri. Usah menunggu lama untuk membayar zakat
fitrah hingga ke saat akhir dikhuatiri mungkin ada masalah yang tidak
dapat dielakkan.
Selamat menunaikan ibadah puasa dan membayar zakat fitrah.
#keberkatanramadhan
No comments:
Post a Comment